Ikon MAHASISWA PEMBINA Johor, Bulan Julai 2012

     Masa adalah perjuangan usia pada tafsiran untuk digunakan dengan sebaiknya. Insan yang bijak mengurus masanya, itulah insan yang akan berjaya. Masa itu anugerah dan amanah. Tidak wajar logika akal berkompromi dengan kehendak nafsu yang tidak menentu untuk mensia-siakan usia dan waktu. Sejauh mana bermanfaatnya waktu itu pada seseorang, dapat dinilai dari prestasi aktivismenya. Sebagai seorang belia dan mahasiswa, saudara Muhammad Rusydi bin Muhammad Razif yakin sepenuhnya pada formula memaksimakan penggunaan waktu dengan agenda yang bermanfaat dapat meletakkan individu itu pada tahap dan kelas tertentu. Justeru itu, ingin kami tampilkan pada semua belia dan mahasiswa, tokoh mahasiswa Pembina Johor kali ini iaitu saudara Muhammad Rusydi Bin Muhammad Razif.

Muhammad Rusydi bin Muhammad Razif dikenali rakan dan taulannya sebagai seorang pemuda yang kuat semangat dalam berusaha mencapai cita-cita. Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur ini dilahirkan pada 30 Oktober 1988 dan merupakan anak keempat dari sembilan beradik. Alam sekolah menengahnya ditempuhi dengan penuh gemilang dan bersejarah  di SAM Hulu Langat Batu 10 Cheras dan SAM Bestari (JAIS) di Subang Jaya. Berbekalkan keputusan cemerlang dalam SPM, beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dan berjaya meraih keputusan 4 flat. Kini, setelah menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Perubatan pada tahun 2011 sebagai graduan kelas pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau melangkah tangga cita-citanya dengan melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di UTM. ‘Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’. Minat beliau yang tinggi dalam bidang kejuruteraan ini diinspirasi dari kerjaya ayahnya yang merupakan seorang jurutera.

Kecemerlangan aktivisme beliau sebagai pemimpin pelajar telah menyerlah ketika di bangku sekolah lagi. Pernah menjawat jawatan sebagai pengawas sekolah selama hampir empat tahun (2002-2005). menjadikan beliau individu yang boleh dipercayai dan mampu memegang amanah serta tanggungjawab dengan baik. Sepanjang bergelar mahasiswa di UTM, beliau pernah mengendalikan program Fotografi dan Adobe Photoshop (Foto-Apho) peringkat UTM, menjawat jawatan sebagai Pengerusi Majlis Rasmi Kolej pada tahun 2007 sehingga 2008, seterusnya memegang jawatan sebagai Exco Biro Dokumentasi dan Informasi Kolej. Bakat dan ciri kepemimpinan yang ada pada beliau ini membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua Biro Media Pembina UTM. Sesungguhnya, kredibiliti dan kesungguhan bekerja yang ditunjukkan melonjakkan lagi namanya sebagai ikon belia yang memaparkan ciri-ciri peribadi muslim.

Al-Aaqlu Saliim Fil Jismi Saliim

          Pepatah arab ada mengatakan “Al aaqlu saliim fil jismi saliim” yang bermaksud “akal yang sihat berada pada tubuh yang sihat”. Pemahaman dan penghayatan  pada kata-kata ini, mendorong beliau untuk meluangkan masa dengan aktiviti sukan dan riadah. Beliau suka bermain pingpong bersama sahabat dan kadang kala mengasah fikiran dengan bermain catur. Bersukan merupakan sunnah Rasulullah SAW dan salah satu muwasoffat tarbiah adalah sihat tubuh badan. Mencukupkan pakej sebagai ikon belia yang dinamik, saudara Rusydi juga cemerlang dan gemilang dalam pencapaian aktiviti kokurikulumnya. Beliau telah mendapat naib johan pertandingan catur peringkat sekolah (2004) dan naib johan pertandingan hafazan peringkat daerah (2000). Selain itu, kecemerlangan beliau dalam lapangan akademik membolehkan beliau dilantik sebagai ‘peer tutor’ bagi subjek Matematik SPM di sekolahnya (2005). Ketika bergelar mahasiswa, beliau telah dipilih untuk menyertai Innovator Pertunjukan Industri dan Teknologi (INATEX) pada tahun 2009 dan 2011 di UTM.

Beliau juga menggunakan ruang dan peluang sebagai seorang mahasiswa untuk berkelana dan mengembara ke negara matahari terbit dan negara jirannya iaitu negara Jepun dan Korea Selatan sempena program Lawatan Akademik Global (anjuran UTM) pada tahun 2010 dan 2011. Pastinya, kembara ke dua buah negara maju itu telah membuka dimensi dan perspektif baru kepada beliau untuk lebih memahami intipati ‘Dasar Pandang ke Timur’ yang telah diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Bin Mohamed pada tahun 1982. Selain itu, menyedari hakikat bahawa usia mudanya hanya datang sekali, beliau turut memperuntukkan waktu untuk terlibat secara aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) serta menjadi sukarelawan Aman Palestin Cawangan Johor.

Jadilah seperti orang yang berpijak dibumi, tetapi cita-citanya tinggi seperti bintang di langit

          Saudara Rusydi berpendapat, manusia itu akan menjadi permata yang sangat berharga lebih dari harga sebutir berlian andai dirinya dilengkapi dengan penguasaan ilmu duniawi dan ukhrawi. Lantaran itu, kesibukan belajar tidak pernah dijadikan alasan ampuh untuk tidak istiqamah menimba ilmu serta menyampaikan ilmu yang dipelajari kepada sahabat-sahabatnya. Salah satu cara untuk meningkatkan penguasaan ilmu adalah dengan mempelbagaikan bahan bacaan. Membaca menjadi santapan bagi mereka yang dahagakan ilmu kerana dengan banyak membaca, minda manusia akan dijana untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Memetik Kata-kata Dr Abdullah Al Qarni “ jadilah seperti orang yang berpijak dibumi, tetapi cita-citanya tinggi seperti bintang di langit…”. Beliau percaya nyalaan obor cita-citanya akan terus semarak selagi mana beliau mampu beramal dengan ilmu yang tersimpan di dada. Menuntut ilmu bukan sekadar mencukupkan syarat untuk lulus peperiksaan tetapi yang lebih utama adalah sebagai persiapan seorang khalifah untuk menghadap Pencipta-Nya kelak. Oleh itu, berpegang pada konsep ‘life-long learning’, beliau sentiasa bermotivasi menempuh ranjau perjalanan demi mengutip mutiara-mutiara ilmu yang sangat berharga.

Kalungan nasihat dari tokoh mahasiswa ini, khusus untuk para belia dan beliawanis, “Tanggungjawab kita semakin besar seiring dengan peningkatan umur kita. Kita tidak dapat lari dari melaksanakan tanggungjawab sebaliknya perlu berusaha untuk menyusun masa kita bagi melaksanakan tanggungjawab dan amanah itu dengan dengan sebaik mungkin. Dalam kondisi dunia akhir zaman, seharusnya kita semua berfikir cara terbaik untuk mengarus perdanakan Islam dengan mengorbankan masa dan tenaga yang Allah pinjamkan. Menyumbanglah demi kegemilangan Islam samada melalui buah fikiran, penulisan, paduan tenaga atau segala macam cara dan kemampuan yang kita ada. Yakinlah bahawa kemenangan itu akhirnya akan berpihak kepada Islam”

Akhirul kalam, marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk ‘Meneraju Arus Mahasiswa’!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s