Mahasiswa dan Kepimpinan

Image

Sudah lebih dari satu tahun saya menamatkan sesi saya sebagai mahasiswa, dan sudah lebih satu tahun saya berkhidmat sebagai pegawai perubatan siswazah. Saya kira bidang perubatan adalah antara bidang paling lama sesi pengajian di universiti selain perundangan dan arkitek. Namun yang pasti saya perlu mengaplikasikan banyak ilmu yang dipelajari dahulu dalam dunia pekerjaan kini. Sungguhpun begitu, pengalaman bekerja merawat pesakit mengajar saya bahawa, ilmu yang dipelajari di menara gading amatlah terbatas dan masih banyak yang perlu diperluas.

Dulunya di alam mahasiswa, kehidupan pelajar itu lebih tertumpu kepada belajar, tugasan dan peperiksaan. Dari semester ke semester yang seterusnya itulah kehidupan rutin seorang pelajar. Saya perhatikan alam pekerjaan bukanlah sekadar mengaplikasikan ilmu yang dipelajari semasa di universiti, namun yang lebih utama adalah proses menguruskan tugasan dan membimbing manusia. Pengalaman sebagai sebagai doktor memerlukan saya menguruskan kehidupan pesakit, berinteraksi dengan jururawat, memberi arahan dengan berhemah, mengutamakan yang lebih prioriti dalam situasi kecemasan dan banyak lagi. Sungguhpun pengalaman belajar selama lima tahun agak panjang, namun masih banyak ruang kosong yang gagal diterapkan semasa sesi pengajian. Begitu juga bidang pekerjaan yang lain, contohnya kejuruteraan. Berapa peratus sangat ilmu yang dipelajari digunakan semasa bekerja. Sedar-sedar jadi jurutera terpaksa menguruskan projek besar, membuat pembentangan kertas kerja, bertemu orang-orang kenamaan dan lain-lain. Cikgu pula tidak ketinggalan, alih-alih selepas menerima ijazah terpaksa menjaga kelas, mengurus persatuan dan pasukan beruniform, membimbing pelajar berpidato, menguruskan kewangan, menjadi setiausaha panitia dan banyak lagi tugasan-tugasan lain yang tidak ada kaitan langsung dengan bidang yang dipelajari.

Ramai dikalangan mahasiswa tidak menyedari hakikat ini. Ramai yang masih menganggap kehidupan mahasiswa adalah untuk belajar semata-mata. Namun jika diteliti, falsafah di sebalik perlaksaan pengajian ijazah adalah untuk melahirkan pemimpin. Seorang siswazah pengajian pendidikan dilatih untuk memimpin kelas dan anak muridnya. Seorang siswazah pengajian kejuruteraan dilatih untuk memimpin syarikat dan pengendalian projek. Manakala siswazah pengajian perubatan pula dilatih memimpin anggota wad dan juga pesakit.

Setiap di kalangan kita adalah pemimpin

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap orang di bawah jagaanmu” (HR Bukhari dan Muslim).

Amat malang sekali jika seorang mahasiswa alpa akan hakikat ini. Kebanyakan kita masuk ke alam kampus untuk menjalani kehidupan rutin kuliah, tugasan dan peperiksaan. Hasil daripada itu kita hanya berjaya di lapangan akademik namun gagal dalam lapangan sahsiah, kepimpinan, interaksi sosial dan lain-lain. Mungkin disebabkan itu juga ramai graduan lepasan ijazah gagal mendapat pekerjaan dan lebih teruk menganggur.

“Mahasiswa perlu nilai tambah” sepertimana yang dilontarkan  Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah. Pada saya amat penting mahasiswa kembali menghidupkan aktivisme mahasiswa di alam kampus.

Kehidupan bukan semata-mata ‘alam pekerjaan’

Contoh-contoh di atas banyak saya hadkan pada alam pekerjaan. Namun bukan itu pengajaran yang ingin disampaikan. Mahasiswa perlu sedar akan tanggungjawab mereka akan datang bukan sekadar memimpin kelas, projek mahupun wad namun yang lebih utama adalah untuk mahasiswa memimpin masyarakat.

Khalifah

Mahasiswa perlu sedar akan satu tanggungjawab sosial yang berat.

 “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi. ” (Surah Al-Baqarah: 30)

Tujuan utama manusia itu diciptakan adalah untuk menjadi khalifah di muka bumi. Dalam konteks sosial semasa tugas itu menjadi lebih utama buat para mahasiswa. Ini kerana, sebagai golongan intelek, mereka mempunyai kelebihan ilmu dan daya fikir yang lebih luas berbanding orang biasa. Apatah lagi dengan usia muda dan tenaga yang ada seharusnya di manfaatkan dalam membantu memimpin masyarakat ke arah yang lebih baik. Maka, atas faktor itu tanggungjawab kepimpinan seharusnya dipupuk sebaik-baiknya sejak usia muda.

Saya melihat universiti merupakan medan yang subur dalam membentuk acuan seorang pemimpin. Di situ berlaku perkongsian ilmu dan interaksi sosial yang pelbagai. Mungkin ada yang mengatakan mahasiswa masih lagi ‘mentah’ dan masih lagi kurang pengalaman dan kematangan dalam kepimpinan. Disebabkan itu mahasiswa dituntut untuk menuntut ilmu. Tanpa menidakkan tuntutan itu, saya ingin menegaskan tuntutan itu termasuklah ilmu kepimpinan. Dan dalam membina peribadi seorang pemimpin perlulah ada pembinaan jatidiri. Memandangkan tuntutan umum manusia adalah menjadi seorang khalifah, maka sudah tentu pembinaan jatidiri itu harus berteraskan kepada ciri keperibadian seorang Muslim. Maka mahasiswa di universiti bukan saja perlu cemerlang dalam bidang pengajiannya, namun harus aktif dalam proses pembentukan diri, pendidikan dan tarbiyah.

Maka saya menyeru para mahasiswa untuk kembali beraktivisme. Aktif dalam tarbiyah untuk pembinaan jatidiri, dan juga aktif dalam dakwah untuk memimpin masyarakat ke arah kebaikan. Mulakan dengan masyarakat kampus.

“Meneraju Aktivisme Mahasiswa”

Dr.Muhamad Yazid Yahya

Pengerusi PEMBINA Johor

Pegawai Perubatan, Hospital Sultan Ismail

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s