“Ah, sudahlah! Baik tak payah tanya!” Awatif mendengus kasar. Jarinya memicit butang merah Sony Ericsson W910.Rakan sebiliknya, Raihanah hanya mampu menggeleng. Tersekat bacaan Qurannya sebentar akibat suara Awatif yang meninggi tiba-tiba. Entahlah, akhir ini kerap saja Awatif marah-marah. Dia pun kurang tahu apa yang membelenggu fikiran dan perasaan rakannya itu.
“Awatif, dah Zuhur? Nak pukul dua setengah dah ni..” Raihanah bersuara bila dilihat Awatif meletakkan kepala di atas bantal.
“Hish, kau nih.. Sabo le kot ye pun.. Orang sakit kepala, dia lagi nak bising! Busybody betul lah!” Awatif membentak-bentak lagi.
“Takdelah, aku ingatkan je. Takut-takut kalau satgi dalam lena kau tu, malaikat Izrail datang nak bawak kau menghadap Allah.. Hihihi..” Raihanah konon-konon cuba melawak dalam menegur.
“Yelah.. Yelah..” Taktik itu memang selalu diguna Raihanah. Menjadi juga pada rakan sebiliknya.
Siang kini berganti malam. Masa berehat setelah penat bekerja di kala siang.
“Rai….” Awatif bersuara.
Tangan Raihanah berhenti menulis. Mata yang tadi khusyuk menghadap buku diangkat menatap wajah Awatif. Ada cerita duka pada riak mukanya.
“Ye? Kenapa Awatif?”
“Rai…. Kenapa? Kenapa kau masih bersabar dengan aku? Kenapa kau tak macam kawan-kawan kita yang lain? Diorang semua dah tinggalkan aku. Dah tak nak kawan dengan aku. Kenapa Rai??” ada sendu di hujung bicara Awatif. Pernah kawan mereka menghasut Raihanah untuk menjauhi Awatif. Nak bagi pengajaran kononnya. Biar Awatif sedar, sikap dia yang pemarah dan kasar itu hanya menyakitkan hati. Namun, Rai fikir sebaliknya. Dia tak rasa itu penyelesaian yang terbaik dalam menyedarkan Awatif. Dia masih bertahan mendekati Awatif.
“Sebab kau masih sahabat aku.” Rai tersenyum.
“Aku sayang kau Awatif. Tak kan aku nak tinggalkan kau. Ada hadis kata, man la yarham, la yurham. Sesiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi. Sebab tu la aku sayang semua orang sekeliling aku. Termasuk kau…” Panjang lebar penerangan Raihanah.
“Walaupun perangai aku macam ni?” Awatif merujuk pada sifat pemarahnya yang tak tentu hala. Marah pada orang lain, tempiasnya pada orang lain. Siapa tahan?
“Manusia boleh berubah Awatif. Mahu atau tidak saja. Nak dengar satu kisah?” Raihanah cuba menyentuh hati rakannya dengan bercerita.
“Ceritalah.” Mood Awatif bertambah baik. Bersungguh dia duduk menghadap Rai, memasang telinga.”Okeh, aku mula ya. Bismillah. Ada sorang budak ni. Dia pun suka marah-marah. Tak boleh ditegur. Tak boleh mintak tolong sikit. Mulutnya merungut saja. Tangan atau kakinya menghentak-hentak, tanda protes. Bukan cuma pada kawan, tapi juga pada ahli keluarga sendiri.” Mata Raihanah memerhati Awatif. Dia masih leka mendengar.Raihanah menyambung cerita. “Andai kan nama watak ni X ye. Satu hari, mak X berkata. “X, walid cakap dengan umi X selalu marah-marah bila walid minta tolong ajar guna komputer. X tak kesian pada walid ke? Sebab tu dia lebih suka minta tolong kakak X. Kakak ajar walid elok-elok, sampai walid pandai. Kalau walid tak pandai pun, dia tak jemu mengulang.” X terkesima. Rupanya walid makan hati dengan sikap X. Walaupun sifat X itu diwarisi dari walidnya, X tak sepatutnya bersikap macam tu lebih-lebih lagi pada walid, seorang bapa yang membesarkannya bersama umi. X teringat, kadang-kadang bila umi mintak tolong, ada saja yang dibebelkan X. Itulah.. Inilah.. X rasa, umi pun mesti banyak kecik hati dengan X. Kalau walid ngadu pada umi, mesti umi ngadu pada kakak tentang perangai buruk X ni. Heh, mujurlah X ni cepat sedar. “
“Sejak hari tu, X nekad berubah. Dia tak lagi marah-marah. Balik cuti je, dia rajin tolong umi dan walid kat rumah. Apa saja kehendak umi dan walid akan cuba dipenuhi. Ibu bapa X gembira melihat perubahan anak mereka. Sampai la satu hari…” Rai berhenti bercerita.
“Aik, mengapakah Rai?” gesa Awatif.
“Sampai la satu hari, dia terima berita walid dia dah pergi bertemu Ilahi. Yang lagi sedih, walid dia dalam perjalanan nak singgah ke tempat pengajian si X usai dari seminar yang dihadirinya. Nak buat surprise hari lahir. Siap bawak hadiah buku, ‘Menjadi Srikandi Agama’ lagi. Tapi Allah sebaik-baik perancang. X hanya dapat hadiah itu dalam keadaan walidnya terbujur kaku.
Di dalam buku, ada sekeping sticker note. Walid tulis,
Anakku X, perubahan mu membahagiakan Walid dan Umi. Teruslah menjadi Srikandi harapan keluarga dan agama. With love, Walid & Umi.
“Ya Allahu Akbar! Tersirap darah aku dengar cerita kau. Meremang bulu roma pun ada. Sedihnya..” Awatif terkesan. Dilihat mata Raihanah berkaca. “Rai?”"Dan X itu adalah aku, Awatif. Seorang Raihanah,” jujur Rai. Air matanya jatuh. Tiada esakan. Sepi.”Aku bersyukur Walid sempat maafkan aku. Aku bersyukur aku tak ditinggalkan dalam keadaan aku derhaka pada walid aku. Dan aku bersyukur masih ada Umi yang terus menyokong aku saat aku lemah menerima takdirNya. Dari situ, aku belajar untuk redha. “
“Maafkan aku Rai. Aku tak tahu..” Awatif mengesat air mata Raihanah lantas memeluknya.
“Takpe, itu cerita lama. Yang penting untuk kau tahu, aku tak pernah marah kau walaupun kau marah aku. Sebab… Aku sentiasa doakan, mudah-mudahan satu hari nanti kau mampu berubah. Berubah selagi sempat. Bolehkan?” dalam sendu, Raihanah memujuk Awatif.
“Mulianya hati kau sahabat. Tolong aku Rai. Aku rasa tak mampu nak hadapi seorang diri.” Awatif merintih. Dia terharu. Rai masih lagi mendoakan dia meskipun bersikap sebaliknya terhadap Rai.
“InsyaAllah. Aku akan teman kau selagi nyawa dikandung badan. Dan, paling utama, kau ada Allah. Cuba kau capai tafsir aku tu. Buka surah Al-Baqarah, tolong bacakan terjemahan ayat 186.” Raihanah menunjuk pada tafsir quran di atas mejanya.
Awatif menurut. Helaian tafsir diselak. “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu Muhammad tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahKu dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran.“
“Hidayah itu milik Allah. Berdoalah. Pohonlah pada Dia, agar hati kita tidak pernah lupa merindui dan mencintai Dia. Mencari kebenaran itu banyak caranya. Baikilah diri selagi kita masih bernyawa.” Rai bertazkirah.
“Aku jahil Rai. Banyak ilmu yang aku tak tahu.” Awatif tersedu-sedu dalam sebak.
“Aku pun masih bertatih Awatif. Kalau mahu tambah ilmu, mari join aku. Nak?” Raihanah meng-offer.
“Join? Ke mana? Tambah ilmu? Nakkk!!” Awatif bersungguh. Rai gembira.
“Join usrah. Makan-makan. Cerita-cerita. Kongsi ilmu. Hehe..”
“Mahuuuu! Terima kasih Rai. Aku saaayang kau! Kau lah sahabat aku dunia akhirat.” Rai dipeluk erat.
“Sama-sama kawan.” Rai melafaz syukur pada Ilahi. Orang yang ‘mencari’ akan mudah menerima. Ya Allah, moga kehadiran Awatif mengukuhkan lagi saff perjuangan kami.
“Awatif…”
“Hmm?”
“Sekali manapun kau susah, ingat ayat 214 surah Al-Baqarah ni ye. Alaaa inna nasrAllahi qariib. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” pesan Rai.
“InsyaAllah Rai.”
“Raihanah…”
“Ye?” giliran Raihanah pula menoleh.
” Kalau aku tersungkur, jangan pernah kau tinggalkan aku. Bantu aku ya?” pesan Awatif pula.
“InsyaAllah Awatif. Itu gunanya sahabat. Dan kau sahabat aku dunia akhirat.”
Mereka mengikat janji setia. Janji akan terus thabat mendaulatkan deen Islam sehingga putus nyawa.
Malam itu, Awatif tidur dengan dada yang lapang, fikiran yang tenang. Raihanah tidur dengan senyuman penuh kesyukuran.
Ya. Berubah selagi sempat.
