
Adakalanya kita tersadung. Mungkin juga terjatuh, kemudian bangkit semula. Atau, terjatuh yang tidak bangun-bangun lagi.
Semua bergantung pada si pelangkah, bagaimana mencorakkan langkah kakinya.
Beberapa sahabat berkongsi, meluahkan isi hati.
Mengadu kelelahan meneruskan derapan. Mengadu ‘ter’stress dengan persekitaran. Mengadu ‘ter’hilang punca setelah bermula.
Itu semua normal. Allah datangkan ujian bukan suka-suka.
Musibah dan ujian itu sebenarnya mahu menyedarkan kita tentang nikmat Allah, mendekatkan diri padaNya. Jadi, apa lagi yang layak dibuat kalau bukan bersyukur kepada Allah dengan mengingatiNya setiap detik waktu. Kan?
Setiap orang tak terlepas dari tekanan. Bila dibuka al-Furqan-, ayat 286 surah Al-Baqarah sering memotivasi diri. “La yukallifullahu nafsan illaa wus’ahaa“-Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dan ayat itu juga dibekalkan kepada sahabat, memujuk sang hati dengan janji Allah.
Bersangka baik dengan Allah. DIA nak kita kuat. DIA nak kita belajar erti kehidupan.
“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman.” [3:139]
Kadang-kadang ‘ter’mengeluh jugak. ‘Ter’lupa Allah tu sentiasa berada di sisi. Mengawasi hambaNya. Terang-terang Allah dah pesan,
“Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina” [40:60]
Haa.. boleh la tambah lega lagi sikit. Allah memang nak kita bergantung harap pada Dia sepenuhnya. Tetapi setelah berusaha, barulah boleh bertawakal. Kalau tak menanam, manakan nak dapat hasil tuaian?
“Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh Allah mencintai orang yang bertawakal.”[3:159]
Oh, moga segala rintangan yang dihadapi meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya.
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” [65:2-3]
Nah, sekarang masa untuk meneruskan langkah. Allah tu memang pemurah. Kalau kita cintakan Dia, Dia pasti membalas cinta hambaNya.
Kalau berduka lara, ambillah wuduk, bacalah Quran. Tadabbur ayat cinta dariNya. InsyaAllah, pasti akan terawat segala kesedihan.
“Inilah Al-Quran suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia, dan menjadi petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa.” [3:138]
Jangan cuma meminta diringankan ujian, pintalah juga dikurniakan kekuatan iman untuk mengharungi cabaran.